Wednesday 9 December 2015

Dia Luar Biasa

Aku tersentap. Benar-benar tersentap hari ini. Terasa ingin berkongsi sentapan itu kepada sesiapa yang sudi membaca.

Aku lihat seorang sahabatku, aku lihat dirinya, keluarganya, ibu ayahnya. Semua orang hebat-hebat. Terbit rasa cemburu dalam diri. Dia dari keluarga yang hebat, tidak hairan dia juga menjadi seorang yang hebat.

Pada suatu moment wechat miliknya, moment itu menggambarkan keadaan keluarganya yang saling menasihati. Spontan tangan gatal menaip,

"Family hebat"

Selang beberapa hari, aku lihat moment itu sudah hilang. Cuma ada satu moment baru yang diupdatenya.

Maaf. Jangan memuji saya mahupun keluarga saya. Perbuatan itu menyebabkan saya sedih yg teramat dan saya sangat malu lagi hina di hdapan Allah.
 Betapa banyak aib yg dilindung.
Kami hanya orang biasa. Tak terlepas dari dosa , ujian nikmat musibah.
Kembalikan pujian hanya pada Allah. Dia yg bagi pinjam secubit nikmatNya pada kami :)
Saya takut saya akan rasa nikmat itu saya yang punya. 
Cuma itu aja.  

Ia hanya dua patah perkataan yang aku jejakkan di ruangan komen miliknya. Mungkin bagi orang kebanyakan itu biasa-biasa sahaja. Tapi tidak baginya. Itulah beza mereka yang dekat dengan Allah dan sebaliknya.

Terpaut hati kotor ini dengan kerendahan hatinya.

Friday 16 October 2015

Menetapkan Visi dan Misi

Visi: Matlamat yang hendak dicapai.
Misi: Perkara yang dilakukan untuk mencapai visi.

Yayaya lebih kuranglah.

Orang kata, bercita-cita biar setinggi langit, andai jatuh disambut awan.
Orang juga kata, hidup mesti bermatlamat.
Orang kata lagi, gagal merancang, merancang kegagalan.

Namun, apakah visi kita? Apakah matlamat kita? Benarkah visi kita itu? Bertepatankah ia dengan kehidupan kita?

Zaman ini zaman yang memerlukan kita menilai dan menapis semula. Kekeliruan, kepesongan, kekusutan terlalu banyak. Silap menilai dan memutuskan, habislah matlamat dan harapan.

Dalam dunia yang sementara ini, ada barang sementara, ada barang kekal. 

Dalam memutuskan apa-apa, teliti dan nilai dengan pandangan hikmah, atas kepentingan jangka masa panjang dan timbang kebaikan yang kekal.

Ahaa berbelitnya.

Senangnyalah contoh nak kahwin. 

Leman ni memang sejak azali lagi kita merendam perasaan. Acewah. Dengan rambut dia, gaya dia, bulu hidung dia semua cantik di mata kita. Tapi kita tahu, dia ada kurang yang memang kita takleh backup. 

Contoh, dia baran, kita angin. Keluar anak 3 orang;sorang  puting beliung, sorang banjir kilat, sorang ribut taufan. Haa tak ke bencana keluarga tu nanti.

Ya dia hensem, tapi bahagia sebulan ja, eksiden sekali, kebakaran, obes ke apa uih lesap abih toksah duk kata. 

Tu aku pesan timbang yang kekai.

Gitu jugak dalam menetapkan visi hidup. Visi exam. Visi dalam tournament. 

Kalau dalam game netball, kau aim nak menang, sekali kalah, kau dapat apa? Habuk pun tarak. Cuba aim nak enjoy, nak sihat. Kalah menang kau dapat benda tu.

Kalau dalam exam kau target 4flat, sekali kau cuai habis result, apa kau dapat? Cuba target nak pegang ilmu tu sampai tua, exam tak exam kau dapat benda tu.

Kalau dalam hidup kau nak happyyyy je, sekali musibah, apa kau dapat? Cuba cari benda yang bagi bahagia kekal dunia akhirat, barulah pelangi hujan sekali pun kau dapat benda tu.

Berhati-hati menetapkan target dalam kehidupan.

Kalau kita bertindak atas dasar yang sementara, tindakan kita selepas dasar yang sementara itu hilang, bagaimana?




IPGK Perlis, 17102015, 1150.

Saturday 3 October 2015

Ujian Hebat, Orang Hebat

Hailah jiwa
lihatlah dirimu
menangis merapu
mempersoal apa yang berlaku
teresak dalam sendu

Hailah jiwa
lihatlah dirinya
berteman senyum dan tawa
syukur dan gembira 
berterima kasih apa adanya

Hailah jiwa
sedarkah kamu
masalahnya lebih hebat
masalahnya lebih berat
masalahnya dan masalahmu
bagai tanah dipijak dan langit biru

Hailah jiwa
buta, kufur dan hina

Hailah jiwa
inikah yang mahu dihadapkan pada Pencipta?

-faroh



Saturday 19 September 2015

Menghazaf Rasa


Lama kutegah diri dari menulis soal hati, usus dan limpa ini.

Takut memberi kesan negatif pada diri. Kerana jika diperhatikan, Allah akan menguji kita, dengan apa yang kita sampaikan pada orang lain. Dalam kata lain, diuji dengan kata-kata. Tapi, ini salah satu cara bagi diri ini, mencabar diri, menulis, moga-moga turut diberi kekuatan.

Baik anak-anak, mari mendekat. Mak nak bercerita.

Ada suatu masa, setiap kita akan diuji dengan kelemahan kita, dengan perasaan suka dan rindu pada ajnabiy. Mungkin kita tidak akan diuji dengan lelaki bermulut manis atau playgirl. Tapi kita akan diuji dengan lelaki yang hebat ilmu, agama dan kepimpinannya. Ada juga yang sebaliknya.

Kerana kita diuji dengan kelemahan kita. Ada yang berpendapat, rasa ini fitrah, tidak mengapa dibiarkan, asal tidak melanggar syariat. Tetapi bagi saya tidak. Pemuda pemikir ummah tiada masa berfikir soal suka atau rindu yang melalaikan. Nukilan Dr Zainur Rashid Zainuddin di laman sosial facebooknya,

siapakah golongan muda yang dikagumi Allah ? 
قال صلى الله عليه وسلم: إن الله عز وجل ليعجب من الشاب ليست له صبوة.رواه الإمام أحمد 
Rasulullah saw bersabda:`Sesungguhnya Allah Azza wajalla kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya sifat sobwah'.(Hadith riwayat Imam Ahmad) 
Sobwah di sini membawa beberapa maksud ; 
1- Bersifat kebudak-budakan dan tidak matang  
2- Suka buang masa dan tidak mahu ambil tanggungjawab 
3- Suka mencari perhatian orang 
4- Tidak mampu mengawal emosi dan perasaan sehingga boleh menimbulkan kesan buruk kepada diri sendiri atau orang lain. 
Ringkasnya, Allah swt mencintai dan mengkagumi anak-anak muda yang matang, bertanggung-jawab, tidak membuang masa dan mempunyai kehidupan beragenda untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara 

Tiadalah jaminan bahawa rasa itu terhazaf serta-merta, setidaknya menunjukkan usaha kita untuk mengelakkannya.

Beberapa usaha hati yang boleh saya senaraikan di sini,

1. Kesedaran

Kita harus sedar bahawa bahaya perasaan ini kita mula menjadikan hati kita bercabang tujuannya.

Bahaya hati bercabang kepada seorang penuntut ilmu. Abi Syeikh Nuruddin al-Banjari ada menukilkan dalam kitabnya, Martabat Ilmu dan Ulama', terjemahan al-Fadhil ustaz Subki (Mudir Pondok Tahfiz Repek, Pasir Mas), ulama' dahulu suka menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu jauh dari kampung halaman, agar hati mereka fokus kepada menuntut ilmu.

Kerana mereka yang hatinya bercabang-cabang, susah untuk memahami hakikat sesuatu ilmu.

Itu jika dicabangkan dengan kesenangan di rumah dan rindu pada ibu bapa. Jika dicabangkan dengan ajnabiy? Apa akan berlaku pada keberkatan ilmu kita? Belajar bertahun-tahun tanpa barokah, itu kerugian yang nyata.

Itu dalam menuntut ilmu. Belum dikira dalam amalan dan ibadah. Kerana itu kita harus sentiasa berhati-hati dengan hati kita. Niatnya diqasad tanpa kita sedar sama ada niat itu memberi manfaat atau mudharat pada diri kita dunia akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 15-16 :

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ (15)


Maksudnya : "Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan."(Surah Huud (11) ayat 15)


Jika amal kita di dasari kerana dunia, Allah akan berikan ganjaran dunia yang kita inginkan itu..
.
أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (16)

Maksudnya : "Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan".(Surah Huud (11) ayat 16)


Dan di akhirat, kita tidak akan memperoleh apa-apa. Itulah niat, andai didasari dengan perkara sementara, ganjarannya juga sementara.

2. Menganggap rasa itu sebagai ujian semata-mata.

Pernahlah diri ini bercerita kepada sahabat, soal hati ini kepada Pencipta, bagaimana tidak mahu didua atau ditiga dengan ciptaanNya. Jawabnya,


Kadang-kadang, kita mudah terperasan.

"Banyak kebetulan aku dan dia, hari ini jam dia warna biru, stokin aku juga biru, adakah ini petanda dari Tuhan?" 
"Diakah jodoh yang ditakdir untuk memandu ferarri menumpangkan aku syurga Ilahi?" 
"Lihatlah betapa banyaknya group whatsapp kami bersama, mungkinkah ini suratan takdir?"



Tidak nafikan tidak salah memikirkan soal jodoh. Tapi jika rasa diri belum bersedia dan belum tiba masa, pandai-pandailah bezakan, antara berfikir soal jodoh atau tidak, yang mana lebih memberi manfaat berbanding mudharat? Ini cuma pandangan peribadi saya.

Hakikatnya dia hadir dalam hidup kita, sekadar ujian yang akan pergi. Seolah-olah angin lalu yang memberi nyaman dan bimbang, kemudian hilang meniup yang lain pula. Dan di saat dia menimpa kita, apa tindakan kita terhadap ujian Tuhan itu? Itu sahaja.

Jangan fikir terlalu jauh, anggap sahaja itu semua hasutan syaitonirrajim.
"Tapi awak pernah cakap berfikir itu galakan ugama"
Iya, fikir hikmah Tuhan, fikir diri perlu ilmu dan reformasi pemikiran, fikir masyarakat tak cukup makan, fikir kehidupan dalam kebatilan, fikir akademik bagaimana peningkatan, fikir jasa ibu ayah apa untuk dibalaskan, bukan soal jodoh dan perasaan. Ini lemah dan melemahkan!

3. Elakkan perjumpaan atau perhubungan tanpa tujuan

Fikir, apa tujuan ini? Anggaplah, andai kita sedar tiada tujuan yang jelas, kita sedang melunaskan tujuan syaitan. Teruskan mujahadah :)

4. Belajar kaedah ikhtilat yang selamat

Jika berbincang, kurangkan pandangan dari mata ke mata. Di sini panahan syaitan bermula.
Cuba memandang dengan sedikit pesongan (ceh). Sama ada dinding di belakang atau cicak berkejaran, tapi jangan tundukkan pandangan atau melihat barangan di tangan (terutama telefon bimbit), dianggap kurang adab dalam komunikasi. Beri perhatian, respon dengan mengangguk dan lihat padanya sekali sekala. InshaAllah hati lebih terjaga. Fuhh detail habis!

Jika memberi barangan, elakkan penyampaian dari tangan ke tangan. Letak sahaja di atas meja. Apalagi barangan yang kecil seperti duit, pemadam dan sebagainya. Jika tiada meja, kertas, buku atau apa sahaja di sekeliling juga sedia membantu. Tapi jika selamat dari sebarang sentuhan, tiada masalah, tapi kalau boleh elakkan. Siapa tahu, satu sentuhan kulit ajnabiy itu mampu mengganggu ibadah selama seminggu, siapa tahu?

Jika di alam maya, ini tertakluk atas individu. Saya sendiri tidak terlalu syadid soal ini, tetapi, kurangkan private message jika tidak perlu. Delete conversation jika tidak penting, bagi mengelakkan kita belek semula masa bosan.

Banyak lagi kaedah selamat dalam berikhtilat. Boleh lebih mengkaji dan mendalami. Ini sekadar pandangan saya. Saya sendiri terutamanya semoga diberi kekuatan...

5. Sibukkan diri

Penuhkan jadual, bersama buku, esaimen, sahabat, jangan bersendiri. Tengok movie, baca Quran dan sebagainya, asalkan otak kita bergerak. Paling koman, tidur jelah...

6. Tawakkal
Allah ada berfirman, mafhumnya,

"Apabila kamu berazam bertawakkallah pada Allah."
(Ali Imran: 159)
Kerana akhirnya yang memberi hidayah itu hanyalah Allah. Mintalah padaNya natijah terbaik daripada usaha ini, dan semoga keredhaanNya bersama-sama. 

It's Hard

It's hard
To be grateful for all that I have
To feel enough when have enough
To think the countless blessings that You gave
To bear the great mercy that You still let me breath
To remember why I lived just as a slave

It's hard
To not be a sinner
All the wrongdoings that I did earlier
Without realising the left and right writers
Shame on me being a sin repeater
When tomorrow God asks what should I answer?

It's hard
To set in my mind
That the death is behind
Even I had the thoughts in mine
That tears I shed at that lone time
It then be gone a second after turning around

"Has the time not come for those who have believed that their hearts should become humbly submissive at the remembrance of Allah and what has come down of the truth? And let them not be like those who were given the Scripture before, and a long period passed over them, so their hearts hardened; and many of them are defiantly disobedient." (The Holy Quran, 57:16)

Thursday 10 September 2015

Kehinaan Seorang Hamba

Kehinaan demi kehinaan.

Aku baca kalamMu,
Aku mendapati kehinaan dalam diriku.

Aku tatap hadis RasulMu,
Aku mendapati kehinaan dalam diriku.

Aku sahut seruan sepertiga malamMu,
Aku mendapati kehinaan dalam diriku.

Aku periksa hafazan tidak seberapaku,
Aku mendapati kehinaan dalam diriku.

Aku menahan lapar dahaga sunat untukMu,
Aku mendapati kehinaan dalam diriku.

Aku menyampaikan nasihat peringatan dariMu,
Aku mendapati kehinaan dalam diriku.

Aku menulis ajaran kekasihMu,
Aku mendapati kehinaan dalam diriku.

Ya Tuhan...

Penat lelahku untuk siapa...
Rukuk sujudku untuk siapa...
Fasih tuturku menjadi apa...
Zikir ratibanku semua ke mana...
Al-Quran kalamMu menghujahkan apa...
Masaku untuk membelek lautan ilmuMu untuk apa...

Ya Tuhan...

Mengapa semuanya kembali menghujahku
Mengapa semuanya terbang bagai debu
Mengapa semuanya kembali melaknatku
Mengapa syaitan bersorak melihatku

Ya Tuhan...

Hati yang disangka bersinar cantik rupanya terpesong tujuan
Bicara fasih bagai ulamak rupanya hati penuh kekufuran
Al-Quran dibaca berbalik-balik rupanya mahukan pujian
Kitab ilmuMu dibelek-belek rupanya berkehendakkan kemahsyuran
Zikir pagi petang diratib-ratib rupanya mahu dipandang

Ini ya Tuhan... kehinaanku.

Dan aku memperoleh semua kehinaanku yang aku damba...

Dan terus melangkah dengan kononnya pakaian keimanan dan ketaqwaan, menutupi diri penuh kemunafikan dan kekufuran.

Ini ya Tuhan. Kehinaan hambaMu, yang mensia-siakan..

[Al-Quran, 23:25

وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.]

[Saidina Ali KW meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Mohonlah perlindungan Allah daripada lembah kesedihan."

"Ya Rasulullah, apakah lembah kesedihan itu?"

"Lembah itu di neraka jahannam. Jahannam sendiri memohon perlindungan darinya sebanyak 70 kali sehari. Lembah itu Allah SWT sediakan bagi para pembaca al-Quran yang membacanya kerana riak."

HR Ibnu Majah]






Monday 7 September 2015

Perkaderan

Di mana sahaja organisasi yang saya lihat, saya perhatikan, pengurusan yang dahulu rancak bergerak semakin perlahan dan lembap.

Banyak organisasi... melalui pemerhatian peribadi diri ini, sudut perkaderan merupakan salah satu aspek yang kebanyakan pimpinan organisasi terlepas pandang. Ini merupakan teks Ucapan Dasar Jabatan Perkaderan di sekolah saya.

Ya, walaupun sekadar di sekolah dan umur ketika itu masih setahun jagung, pendedahan dan perlaksanaan perkaderan di sekolah saya agak strategik dan komprehesif. 


Cc sahabat perjuangan Jabatan Perkaderan bersama, Nadhirah bt Abd Rasid dan Wan Basyirah bt Abdul Majid. Yang dirindui, sentiasa dan sentiasa. 


3.0 PENGURUSAN KOMPREHENSIF SILLAH PERKADERAN STRATEGIK

3.1       Umum mengetahui, bahawa perkaderan adalah suatu perkataan yang tidak asing lagi dalam arena dakwah para dua’t. Sehubungan dengan itu, dalam proses pembangunan jemaah yang lebih teratur dan progresif, usaha merekrut kader-kader Islam adalah sangat penting untuk memastikan kesinambungan perjuangan dakwah dan tarbiah seterusnya memastikan bi’ah solehah yang telah wujud akan dijamin dapat terus berkekalan. Sejarah Islam juga membuktikan pemimpin hebat yang lahir di pentas dunia tidak lahir secara kebetulan, spontan atau turun dari langit. Mereka sebenarnya lahir daripada mekanisme didikan yang terancang sejak dari awal.

Surah Al-Anfal : 60

3.2       Antara langkah untuk mewujudkan perkaderan yang mantap adalah melalui pelaksanaan program tamrin yang komprehensif. Perancangan komprehensif bererti perancangan yang mampu menjawab persoalan apakah visi itu, bagaimana ia dapat dicapai, siapa yang ditugaskan melaksanakannya dan bilakah ia mesti disempurnakan Pada pandangan kami, ilmu pelaksanaan inilah yang menjadi kekurangan yang mengakibatkan terbantutnya proses tarbiah dan dakwah yang komprehensif.

Muktamirin muktamirat yang dirahmati,
3.3       Dalam pengurusan organisasi, banyak kelemahan yang diperhatikan apabila organisasi lebih terbiasa mengurus konflik dan masalah lebih daripada mengurus agenda dan visi. Jika dilihat pada ruang lingkup tamrin itu sendiri, perjalanan tamrin mestilah dipelbagaikan mengikut perkembangan mad’u. Namun matlamat dan agenda yang ingin dicapai dalam suatu program tamrin tidak patut dipinggirkan. Selain itu, penggerak – penggerak tamrin juga hendaklah mempunyai kecekapan yang tinggi dan mempunyai kemahiran membuat perancangan yang pelbagai bagi mencapai matlamat yang sentiasa berubah. Mustahil tanpa sifat pengurusan yang ampuh, sebuah empayar yang agung mampu dibangunkan.

Warren Bennis berkata dalam bukunya Leadership:
“Leader are people who do the right things. Manager are people who do things right.


3.4       Tambahan pula, generasi yang hebat adalah generasi yang dapat melahirkan perkaderan yang lebih hebat! Pemilihan yang tepat akan menghasilkan kestabilan serta tidak berlaku pergolakn, manakala hasil pilihan yang tidak baik akan menimbulkan kepincangan dalam sesuatu organisasi. Justeru, semua pimpinan dalam proses kaderisasi ini hendaklah bersungguh - sungguh dan bijaksana memilih orang yang sesuai dalam setiap kedudukan tanggungjawab. Harapannya agar pelaksanaan proses perkaderan yang strategik akan dapat melahirkan kepemimpinan unggul selari denagan tema muktamar ini.

Ingatlah, pemimpin yang berkualiti tinggi kepimpinannya adalah pemimpin yang bukan sekadar diikuti dan ditaati. Beliau bukan sekadar pemimpin yang beramanah dan berintegriti. Tidak cukup sekadar pemimpin yang mampu mencetak generasi dan menghebatkan orang lain. Beliau pemimpin yang mampu meninggalkan legasi yang kukuh dan pengaruh yang kekal abadi. 

Hablumminallah Berkualiti Tonggak Keberkesanan Tarbiyyah

Ini  sebenarnya teks Ucapan Dasar muktamar di sekolah saya, ini tajuk yang ditaklifkan kepada saya selaku Pengerusi Lajnah Pengisian dan Aktiviti 2013/2014, dengan kerjasama Anis Atirah yang dirindui. Dan setelah berthrowback, saya mendapati intipati teks ini ada baiknya dikongsi. Semoga bermanfaat.



1.1          Hablumminallah ikhtisarnya merupakan asas dalam suatu pembinaan individu yang haraki dan rabbani. Dalam usaha menjamin keberkesan tarbiyyah, sudah tentu hubungan dengan Allah menjadi suatu aspek yang amat dititik beratkan. Hal ini demikian kerana hablumminallah yang berkualiti mampu melahirkan umat muttaqin yang mempunyai ta’alluq billah yang kuat yakni para mukmin yang hidup dan matinya, amal dan ibadahnya, jihad dan pengorbanannya untuk Allah semata-mata.

Berbangkitnya isu ini adalah disebabkan muncul ramainya indivudu yang berintima’ dengan jemaah mempunyai ilmu haraki yang mantap namun kurang dari sudut kesufian jiwanya. Allah Taala ada berfirman,

"Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat)? Tidakkah kamu mengerti?" (al-Baqarah: 44)

1.2          Hakikatnya antara nikmat yang cukup, cukup besar Allah kurniakan kepada hambaNya adalah nikmat mampu berdakwah dan menyumbang kepada ummah. Namun, tanpa kita sedari, keberadaan kita dalam gerakan harakah islamiyyah merupakan suatu nikmat dan pada masa yang sama juga ianya merupakan suatu ujian kepada kita.

Realitinya, hanya dengan kesusahan dan ujian hidup membuatkan kita sebenarnya lebih dekat denga Allah, dan lebih menghayati erti sebenar hablumminallah. Sebagaimana kata-kata Robert Brault, ‘sometimes, in tragedy, we find our life’s purposes’. Juga bertepatan dengan firman Allah Azza wa Jalla.

"Ataukah kamu mengira kamu akan masuk Syuga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." (al-Baqarah: 214)

1.3          Jika disingkap siah Rasulullah, baginda diuji sebagai Rasul selama 23 tahun. Sedangkan seandainya Allah menghendaki kemenangan kepada umat Islam dengan segera, maka tiada yang mustahil dengan zat kebesaran Allah.

Namun, sebagaimana murabbi kita ustaz Yahya Othman pernah berkata, “Seandainya tarbiyyah tidak dihayati dalam diri seorang pejuang maka kemenangan yang tertangguh lebih baik daripada kemenangan yang terburu-buru.

Di sini, izharlah, bahawa betapa tarbiyyah itu suatu perkara yang memerlukan penghayatan yang mendalam daripada ahli-ahli gerakan harakah Islamiyyah itu sendiri. Justeru, penghayatan tarbiyyah dapat dicapai melalui keberkesanan hablumminallah.

1.4          Jika kita teliti, penerimaan seseorang mad’u terhadap penyampaian seseorang da’ie bergantung kepada hubungan da’ie itu dengan Allah. Ummah kini tidak memerlukan orang yang hanya pandai berkata-kata semata-mata, tetapi ummah memerlukan seseorang yang mampu menjadi qudwah. Tidak dapat tidak, hablumminallah merupakan faktor dominan dalam menjamin kelangsungan mata rantai perjuangan Rasulullah.

Harapan yang amat besar daripada kami, agar generasi yang akan datang mengambil cakna tentang hubungan ahli dengan Allah, khususnya dari segi perlaksanaan taklifat ahli agar tarbiyyah yang diberi dapat dihayati sebaiknya.


"Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman dengan Allah dan Rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar."  (al-Hujuraat: 15)

Khulasahnya, mukmin yang menghayati perjuangan ialah orang-orang yang mana perasaan, percakapan, dan tindakan mereka dikuasai kesanggupan mereka terhadap perjuangan.

Menangislah Kerana Tuhanmu

Menangislah

“Uish kau menangis? Hilang macho.”
Cuma, mahu timbulkan satu persoalan. Apa yang tidak baik dengan menangis?

Menangis menzahirkan kesedihan…
Pengakuan bahawa lemahnya insan…
Melahirkan rasa penyesalan…
Memberi kesedaran tentang hakikat kehidupan…
Membina hati yang salim, yang sentiasa diberi peringatan…

Allah Ta’ala berfirman,

“Maka biarkanlah mereka tertawa sedikit dan menangis yang banyak, sebagai balasan terhadap apa yang mereka selalu perbuat.” (Surah At-Taubah, 9:82)

“…Maka celakalah mereka yang hatinya telah keras membatu untuk menerima peringatan dari Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Az-Zumar, 39:22)

Menangis sering dikaitkan dengan lembik dan lemah, kerana itu kaum lelaki khususnya, mengeraskan hati daripada menangis. Di sini saya bawakan satu kisah kisah, dalam kitab Mukasyafah al-Qulub karya Imam Ghazali, tentang seorang Khalifah yang gagah perkasa, berani dan tegas, amat digeruni oleh musuh Islam sehingga dikatakan, sekiranya dia melalui satu jalan, maka syaitan akan melalui jalan selainnya.

Saidina Umar al-Khattab Radhiallahu ‘Anhu.

Ya, dia memang tegas dengan musuhnya, tapi di hadapan Allah Azza wa Jalla, dialah hamba.

 Dikisahkan, Saidina Umar Radhiallahu ‘Anhu pernah jatuh pengsan  kerana takut ketika mendengar bacaan ayat suci Al-Quran. Pada suatu hari, dia mengambil sebatang jerami, lalu berkata,

“Aduhai, alangkah baiknya jika aku menjadi jerami dan tidak menjadi sesuatu yang disebut. Aduhai, alangkah baiknya jika dulu ibuku tidak melahirkanku.

Ia menangis teresak-esak hingga air mata membasahi pipinya. Oleh kerana itu, pada wajahnya ada garis bekas lelehan air mata.


Betapa dia takut menanggung amanah sebagai hamba dan takut akan peritnya azab Allah. Satu lagi kisah daripada buku yang sama.

Di dalam Raqaid al-Akhbar  disebutkan bahawa pada hari kiamat, didatangkan amalan kepada seorang hamba. Ternyata keburukannya lebih banyak. Lalu dia diperintahkan ke neraka. Kemudian, bulu matanya berkata, “Tuhanku, RasulMu Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang menangis kerana takut kepada Allah, Allah mengharamkan kepadanya api neraka” Kerana itu, aku pun menangis kerana takutkanMu.

Lalu Allah mengampuni dan mengeluarkannya daripada neraka dengan berkat sehelai bulu matanya yang ketika di dunia pernah menangis kerana takut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jibril ‘Alahissalam berseru, “Fulan ibn Fulan selamat kerana sehelai bulu mata.”

Subhanallah… Besarnya rahmat Allah.

Menangislah

Hatta Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam sendiri berdoa agar dikurniakan mata yang menangis kerana takutkan Allah. Hakikat mereka yang menangis ini, kerana mereka akhirnya mendapati Allah di hatinya. Mukmin itu, sentiasa berada di antara ketakutan dan pengharapan. Ketakutan kepada azab, pengharapan kepada rahmat dan redha Allah. Dan dua perkara ini tidak didapati kecuali di hati sebenar-benar hamba.

Menangislah kerana Rasulullah juga menangis kerana kita
Menangislah kerana Allah tak jemu mengampunkan kita
Menangislah kerana rahmat Allah begitu besar
Menangislah kerana nikmat Allah tidak terhitung
Menangislah kerana sakaratulmaut itu akan tiba
Menangislah kerana azab Allah terlalu perit
Menangislah kerana kita tidak layak untuk syurgaNya
Menangislah…


Lailatul Qadr, Kisah di Sebaliknya

Ibn Abbas رضي الله عنهما meriwayatkan, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bercerita bahawa baginda mendapat wahyu daripada Allah SWT tentang seorang lelaki bani israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat kagum lalu berdoa,


"Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan."


Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah
صلى الله عليه وسلم dengan memberikan lailatul qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan oleh lelaki bani israil itu untuk berjihad di jalan Allah.


Nama lelaki bani israil itu ialah Syam'un. Ia berperang melawan kaum kafir selama seribu bulan tanpa henti. Ia diberi kekuatan dan keberanian yang membuat musuh-musuhnya ketakutan. Lalu kaum kafir mendatangi isteri Syam'un. Mereka memujuk isterinya bahawa mereka akan memberi hadiah perhiasan emas jika ia dapat mengikat suaminya. Menurut perkiraan mereka, Syam'un dapat ditangkap dengan mudah jika dalam keadaan terikat.


Ketika Syam'un sedang tidur, secara diam-diam isterinya mengikat badan Syam'un dengan tali. Namun ketika Syam'un bangun, dengan mudahnya ia dapat memutuskan tali-tali yang mengikat tubuhnya.


"Apa maksudmu berbuat demikian kepadaku?" Tanya Syam'un kepada isterinya.


"Aku hanya ingin menguji kekuatanmu." Kata isterinya pura-pura.


Kaum kafir itu tidak berputus asa. Lalu mereka memberi rantai kepada isteri Syam'un dan memerintahkannya agar mengikat suaminya dengan rantai itu. Isteri Syam'un segera melaksanakannya. Namun sebagaimana kejadian sebelumnya, dengan mudah Syam'un dapat memutuskan rantai besi yang mengikat tubuhnya.


Iblis mendatangi kaum kafir lalu berkata kepada mereka agar mereka memerintahkan isteri Syam'un untuk bertanya kepada suaminya di mana letak kelemahannya. Setelah dipujuk, Syam'un mengatakan kepada isterinya bahawa kelemahannya ada pada lapan jambul kepalanya. Ketika Syam'un tidur, isterinya telah memotong jambul suaminya itu lalu mengikatkannya pada tubuhnya. Empat jambul digunakan untuk mengikat tangan dan empat jambul lagi untuk mengikat kakinya. Syam'un tidak mampu melepaskan dirinya daripada ikatan itu kerana itulah kelemahannya.


Akhirnya, kaum kafir dapat menangkap Syam'un lalu mereka menyeksanya. Telinga dan bibir Syam'un dipotong lalu badannya digantung di sebatang tiang yang sangat tinggi. Syam'un berdoa kepada Allah SWT  agar diberi kekuatan untuk melepaskan diri daripada penyeksaan musuh-musuhnya itu. Allah SWT memakbulkan doa Syam'un hingga ia dapat melepaskan diri dari tali-tali yang menjeratnya dan menghancurkan tiang yang digunakan untuk menggantungnya. Semua kaum kafir mati tertimpa tiang tersebut.


Para sahabat Rasulullah
صلى الله عليه وسلم sangat kagum mendengar cerita itu. Mereka bertanya,


"Ya Rasulullah, dapatkah kami memperoleh pahala sebagaimana yang diperolehi Syam'un?"


"Aku sendiri tidak tahu," jawab Rasulullah
صلى الله عليه وسلم.


Kemudian baginda berdoa kepada Allah SWT. Allah SWT mengabulkan dengan memberikan malam lailatul qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang dipakai Syam'un untuk berjihad di jalan Allah SWT.


[[Mukasyafah al-Qulub, karangan Imam al-Ghazali]]


~Bagaimana besarnya rahmat dan nikmat Allah kepada kita, dan tiada yang menyedari dan mensyukuri nikmat ini kecuali mereka yang kehilangannya; iaitu ahli qubur.


~Bagaimana nilaian peluang beribadah, Allah kurniakan melalui jerih perih dan sengsara mereka yang terdahulu.


~Bagaimana kita mahu mula berusaha, menyedari dan berusaha mencari peluang-peluang ibadah, khususnya malam lailatul qadr yang tidak lama lagi.


Tidakkah kita berfikir? Mari kita berfikir

Ikhtilat Lelaki dan Perempuan

Ini cuma pandangan saya, boleh dihujah dan dibantah semula. Sebarang teguran amat dialu-alukan.

Fenomena hari ini sangat ajaib di mana pelajar sekolah agama, hatta institusi tahfiz sendiri, pasti berlaku gejala kapel. Ya, rasa suka itu ada dalam setiap individu. Allah jadikan perempuan tertarik pada lelaki dan begitulah sebaliknya. 

Remaja ini mempunya naluri berhibur dan mencari keseronokan, atau dalam istilah kini, hedonisme. Teringat pula teks forum saya,

"Naluri berhibur dan mencari keseronokan atau hedonisme, merupakan fitrah semulajadi, yang ada pada setiap individu."

Tak, itu bukan perkara negatif. Namun bagaimana kita salurkan naluri itu. Ada orang hiburannya dengan al-Quran, hiburannya dengan zikir, keseronokannya ketika menelaah pelajaran. 

Abi Sheikh Nuruddin al-Banjari ada menceritakan dalam salah sebuah nukilannya, Muhammad bin al-Hasan apabila berjaga malam dan menyelesaikan pelbagai kemusykilan ilmu, beliau berkata, 

"Di manakah anak-anak raja akan mendapat kelazatan-kelazatan ini?"

Ehe baik. Jauh amatlah keseronokan para ulamak dengan kita. 

Salah satu saluran itu yang mahu saya kupas dan bidas, iaitu dengan cara mengambil mudah dalam penjagaan ikhtilat. Maksud saya di sini, tidak semestinya berpasangan, tapi melebihi batas-batas ikhtilat yang dikenakan syarak.

Andai dirujuk dalam buku Tarbiah Sentap, Akh Adnin Roslan amat tegas dalam penjagaannya. 

Saya pernah berada dalam 2 situasi yang cukup, cukup kontras. Situasi pertama, biah masturah. Yang mana semua muslimat diwajibkan berpurdah. Tidak dibenarkan langsung berbicara dengan muslimin. Andai ustaz mengajar kuliah muslimat, pandangannya langsung tidak diangkat kepada muslimat, matanya berterusan di kitab hingga habis kuliah.

Situasi kedua, lelaki dan perempuan ada melakukan program bermalam dalam sebuah rumah. Bebas berkongsi kereta, keluar bersama hingga dua tiga pagi. (Ini pemerhatian saya sepanjang bersama mereka, bukan pengalaman saya sepenuhnya). Namun masih terkawal, tidak berlaku sebarang sentuhan, kemelampauan dan sebagainya. Cuma sedikit bebas.

Terus teranglah saya katakan, kebebasan ini, membawa kerosakan pada hati kita.
Menjejaskan maruah kita. Membunuh sifat malu dalam diri kita khususnya muslimat.

Jagalah. Mahalkan diri. Ya, ikhtilat ini seronok. Kerana itu manusia tenggelam di dalamnya. 

Muslimat, kamu, dengan kebebasan dan kononnya 'sporting' yang kamu tampilkan ketika berikhtilat dengan lelaki, kamu sebenarnya sekadar menjadi hiburan kepada lelaki. Hatta dalam berpakaian, ulasan dari majlis ta'lim yang disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar al-Hamid, andai kita berpakaian dengan tabarruj, apalagi sehingga mendedahkan aurat, ia adalah kerana kita menjadi selera kepada lelaki. (Nauzubillah)

Begitu juga lelaki. Dalam kuliah yang sama Habib Ali menerangkan, kewajipan penjagaan kehormatan perempuan itu pertamanya ke atas lelaki. Dengan lelaki menjaga kehormatan diri mereka lelaki itu sendiri, perempuan boleh menjaga kehormatan mereka. Kerana lelaki mutolib (mencari) dan perempuan mutolab (dicari). 

Janganlah. Jaga, jaga, jaga hati kita. Kosongkan biar cuma kepada Allah, Rasul Sallallahu Alaihi wa Sallam, dan ibu bapa kita. Soal jodoh perkahwinan, itukan kerja Tuhan. Lagipun, yakinkah kita jodoh kita masih hidup di dunia? 


Sudahlah. Ia mencuri masa muda kita. Ia mencuri perkara paling berharga dalam hidup kita.

Pemikiran, percakapan, penulisan kita tidak perlulah menyentuh soal hati. Soal imam, makmum. Angan-angan kosong tentang nikah dan cinta setelahnya.

Istilah yang saya beri untuk perkara-perkara sebegini; LEMAH DAN MELEMAHKAN!

Ketika muda ini, tuntutlah ilmu, hafazlah ilmu, hafazlah Quran. Alih fokus hidup kepada perkara yang lebih penting.

Melihat di Sebalik Hari Lahir

Apabila tiba hari lahir, maka ada yang buat surprise, ada yang siap jamuan, hari itu penuh dengan ucapan dan doa sahabat-sahabat.

Kadang-kadang setiap individu ternanti-nanti hari jadinya setiap tahun.

Cuma kini, apabila meningkatnya umur, kita perlu berfikir dengan lebih dalam. Hikmah dan kejadian di sebalik hari jadi.

Ulangtahun apakah ini?
Memperingati apakah ini?
Apa yang berlaku pada hari ini?
Siapa yang terlibat dalam peristiwa bersejarah ini?

Fikir semula. Berfikir itu galakan agama.

Hari ini, kita dilahirkan.
Hari ini, perjanjian kita di alam ruh akan menjadi rasmi.
Hari ini, seorang khalifah dilahirkan.
Hari ini, seorang hamba dilahirkan.
Hari ini, ibu kita sakit kerana kita.
Hari ini, kita selamat tiba di dunia.
Hari ini, kita mendekati kematian.
Hari ini, kita bertambah umur dan dosa.
Hari ini, masih sempatkah untuk bertaubat?

Fikir lagi. Hari ini, hari apa. Hari jumaat, baiklah -_-

Senaraikan perkara yang patut dan tak patut dilakukan oleh kita pada hari kelahiran ini. Ubahlah. Jadikannya hari yang barokah di sisi Allah.

1) Sujud syukur. Sepanjang umur kita, begitu banyak nikmat Tuhan, yang kita lupa untuk syukuri.

2) Berterima kasih kepada ibu kita.

Saya anak kedua bongsu, tidak sempat dengan adik yang masih bayi.

Jadi... apabila kakak dan abang saya mempunyai anak, cara mereka menjaga dan mencurah kasih sayang kepada anak mereka. MashaAllah... begitulah ibu bapa kita dulu. Waktu itu baru aku sedar, tak terucap ucapan terima kasih.

Apa yang ibu kita buat pada kita, tidak akan terbalas walau kita beri segalanya di atas muka bumi ini.

Dalam hadis, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ada sebut, walaupun kita mendapati ibu kita sebagai hamba, lalu kita membelinya lalu memerdekakannya, itu masih tidak mampu membalas jasa ibu kita.

Menangislah, telefon mereka. Ucap terima kasih kerana lahirkan kita di dunia. Walaupun bunyi sangat awkward, boleh jadi itu ucapan yang ibu kita tunggu selama berbelas tahun kita berada di atas muka bumi ini. Mana tahu?

3) Muhasabah dan tafakkur.

Jadikan hari ini penghadang pada api neraka. Cari ceramah, tazkirah, banyakkan istighfar, sucikan hati. Buat solat sunat taubat. Letakkan tahun ini sebagai tahun yang terbaik.

Saya selalu fikir, kalau nak tahu sama ada kita dah buat yang terbaik atau belum dalam amalan dan ibadah sehari-hari, adakah kita sanggup mati setelahnya atau semasa melaksanakannya?

Kerana jika difikirkan, mati dalam keadaan itu jauh lebih baik dari mati dalam kelalaian. Tetapi, jika ditanya, sanggupkah kita mati setelah melaksanakannya? Allah...

Begitu juga tahun ini. Meningkatnya umur, adakah meningkat amalan?

"Belum datangkah waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah?"
(Surah Al-Hadiid: 16)


Friday 4 September 2015

Pelajar Sekolah Agama

Kita, apabila pernah menjejak ke sekolah agama, atau mengambil jurusan melibatkan agama, maka penilaian manusia terhadap agama itu kepada kita terlebih dahulu, bahkan KPI penilaian mereka kepada kita lebih tinggi berbanding pelajar sekolah menengah atau selainnya.

Iya, walaupun yang lain itu beragama Islam, sama seperti kita.

Adilkah penilaian manusia apabila kita yang mengambil jurusan agama, belajar bahasa arab ini dinilai lebih, sedangkan kita semua sama-sama beragama?

Nah, inilah pincang penilaian manusia. Kerana itu, setiap kesalahan kita, sekecil-kecil perkara pasti mendapat teguran dan ancaman. Kerana mereka melihat kita memikul nama agama, dan realitinya, mereka benar.

Iya, walaupun yang lain itu beragama Islam, sama seperti kita.

Wajarlah kita perhatikan, yang tahu tidak akan sama dengan yang tidak tahu. Adapun yang tahu, yang sedar tidak akan sama dengan yang tidak sedar.

Yang direzekikan Allah peluang pendedahan dan penekanan soal agama, aurat, ikhtilat dan sebagainya, tidak akan sama dengan yang tidak direzekikan pendedahan itu.

Tidak akan sama, dari cabaran melakukan hingga pembalasannya di akhirat kelak.

Berbanggalah dinilai dan dibash kerana perilaku tidak sesuai dengan ketinggian agama Islam, itu suatu bentuk teguran rahmat dari Tuhan untuk kita mengambil pengajaran. Jangan bash balik penegurnya, itu bukan ajaran agama.

Jagalah kepercayaan orang terhadap kita, thiqah ini suatu perkara yang mudah terhempas dan berderai. Apalagi apabila dilingkungi manusia dengan latar belakang dan agama yang berbeza. Kita akan dinilai dari sekecil-kecil perkara, cara berpakaian, disiplin, lewat atau awal ke kelas, fokus kita dalam kelas, ceramah, semuanya dan kerana pincangnya penilaian mereka, kemuliaan agama terpalit sama.

Kita tak boleh menghentikan manusia dari menilai, kita sendiri tak dapat berhenti dari menilai. Maka menjaga ketinggian agama itu menjadi tanggungjawab kita, dengan menjaga perilaku dan kepercayaan manusia pada kita. Sama-sama usaha.

Tidakkah kita berfikir, mari kita berfikir.

Sunday 9 August 2015

Peranan Muslimat Di Medan Amal Islami

Ini merupakan tajuk buku nukilan Sheikh Dr Faisal Mawlawi, yang diterjemah oleh ustazah Nafisah Tahir.

دور المرأة في العمل الاسلامي

Saya tidak mahu menghurai apa itu amal islami, kerana saya sendiri bukanlah begitu faqih tentangnya. Yang mahu saya tekankan di sini ialah peranan muslimat.

Semasa saya tingkatan 5 dan sepanjang cuti selepas SPM, saya mengalami krisis pembawaan diri. Kerana saya terlibat dengan gerak kerja dan organisasi sejak dari tingkatan 3. Saya didedahkan dengan ilmu kepimpinan, pengurusan organisasi, dan yang berkaitan dengannya. Dan saya secara peribadi meminati bidang tersebut.

Namun, saya dijerut persoalan dan pertanyaan, setara mana kewajipan, atau tuntutan bagi muslimat, untuk turun dalam medan dakwah dan masyarakat, memegang jawatan dan kepimpinan.

Sebagaimana yang diketahui, muslimat adalah fitnah bagi muslimin. Dan sebaik-baik muslimat yang tidak dipandang dan memandang. Namun, jika kita terlibat dengan gerak kerja dan organisasi, bukankah diri kita lebih terdedah pada pandangan ajnabiy?

Saya jadi keliru. Banyak pendapat dan pandangan. Dan saya pasti ada segelintir muslimat di luar sana turut mengalami situasi yang sama dengan saya. Jadi dengan rahmat Allah, Allah mempertemukan saya dengan buku ini.

Sheikh Dr Faisal Mawlawi merupakan Penasihat Agama Pertubuhan Organisasi-organisasi Islam Eropah. Dalam buku ini, didedahkan tentang fahaman-fahaman yang melemahkan penglibatan muslimat di medan amal islami.

Pada awalnya, berat untuk saya menerima kerana di sini banyak menyalahkan muslimin, atau khususnya para suami. Namun bacaan seterusnya meredakan hati saya.

Antara ringkasan intipati yang saya cari ialah berkenaan keizinan untuk muslimat turun di medan amal islami.

Awlawiyyat muslimat, tetap kepada keluarga, namun tanggungjawab ini juga wajib melihatkan kepada ketenatan ummah sekarang. Dalam apa jua keadaan sekalipun, izin suami yang utama, walaupun suami enggan mengizinkan dengan alasan yang tidak sepatutnya, suami berdosa tetapi isteri tetap wajib mentaatinya. Walaubagaimana pun, terdapat ketetapan syarak yang wajib diperhalusi oleh muslimat dalam keterlibatan mereka.

Untuk lebih jelas dan wadhih, carilah buku ini.

Seterusnya, bahagian ini yang menthabatkan saya. Iaitu keberuntungan wanita muslimah di dalam gerakan Islam daripada Dr Wahibah Twahir. Kerana saya sendiri merasakan keberuntungan itu walaupun baru setahun jagung dan sumbangan tidak lebih dari separuh kuman dalam gerakan ini.


وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah:71)

Akhir sekali, saya tidaklah terlalu kuat berpegang pada pandangan ini, saya masih mencari pandangan-pandangan lain yang relevan mengikut situasi diri, keluarga dan keadaan semasa.

Semoga dipermudah urusan kita-kita

Saturday 8 August 2015

It's My Third

You know, when we're increasing in age we must force ourselves to increase our thoughts and maturity too. Why by force? Because it doesn't come naturally. We must create, build, fail, hurt and learn to gain it.

The moment I read my old posts in my old blog, I was like,

"Is it really me who wrote it?"

Haha. It's kind of embarassing to read our past years posts. I'm certain that some of you would feel the same.

But still, I'm being grateful; at least it indicates some improvement in myself... maybe?

So here, my new blog. Godwilling there won't be forth or fifth.

Tiada yang istimewa
Cuma cakaran dan contengan biasa
Cuma suka suka
Cuma duka duka
Boleh jadi cerita kita sama
Cuma mahu membawa otak semua
Untuk lebih meneroka ke celah lipatannya
Wahha

May God bless