Monday, 7 September 2015

Hablumminallah Berkualiti Tonggak Keberkesanan Tarbiyyah

Ini  sebenarnya teks Ucapan Dasar muktamar di sekolah saya, ini tajuk yang ditaklifkan kepada saya selaku Pengerusi Lajnah Pengisian dan Aktiviti 2013/2014, dengan kerjasama Anis Atirah yang dirindui. Dan setelah berthrowback, saya mendapati intipati teks ini ada baiknya dikongsi. Semoga bermanfaat.



1.1          Hablumminallah ikhtisarnya merupakan asas dalam suatu pembinaan individu yang haraki dan rabbani. Dalam usaha menjamin keberkesan tarbiyyah, sudah tentu hubungan dengan Allah menjadi suatu aspek yang amat dititik beratkan. Hal ini demikian kerana hablumminallah yang berkualiti mampu melahirkan umat muttaqin yang mempunyai ta’alluq billah yang kuat yakni para mukmin yang hidup dan matinya, amal dan ibadahnya, jihad dan pengorbanannya untuk Allah semata-mata.

Berbangkitnya isu ini adalah disebabkan muncul ramainya indivudu yang berintima’ dengan jemaah mempunyai ilmu haraki yang mantap namun kurang dari sudut kesufian jiwanya. Allah Taala ada berfirman,

"Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat)? Tidakkah kamu mengerti?" (al-Baqarah: 44)

1.2          Hakikatnya antara nikmat yang cukup, cukup besar Allah kurniakan kepada hambaNya adalah nikmat mampu berdakwah dan menyumbang kepada ummah. Namun, tanpa kita sedari, keberadaan kita dalam gerakan harakah islamiyyah merupakan suatu nikmat dan pada masa yang sama juga ianya merupakan suatu ujian kepada kita.

Realitinya, hanya dengan kesusahan dan ujian hidup membuatkan kita sebenarnya lebih dekat denga Allah, dan lebih menghayati erti sebenar hablumminallah. Sebagaimana kata-kata Robert Brault, ‘sometimes, in tragedy, we find our life’s purposes’. Juga bertepatan dengan firman Allah Azza wa Jalla.

"Ataukah kamu mengira kamu akan masuk Syuga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." (al-Baqarah: 214)

1.3          Jika disingkap siah Rasulullah, baginda diuji sebagai Rasul selama 23 tahun. Sedangkan seandainya Allah menghendaki kemenangan kepada umat Islam dengan segera, maka tiada yang mustahil dengan zat kebesaran Allah.

Namun, sebagaimana murabbi kita ustaz Yahya Othman pernah berkata, “Seandainya tarbiyyah tidak dihayati dalam diri seorang pejuang maka kemenangan yang tertangguh lebih baik daripada kemenangan yang terburu-buru.

Di sini, izharlah, bahawa betapa tarbiyyah itu suatu perkara yang memerlukan penghayatan yang mendalam daripada ahli-ahli gerakan harakah Islamiyyah itu sendiri. Justeru, penghayatan tarbiyyah dapat dicapai melalui keberkesanan hablumminallah.

1.4          Jika kita teliti, penerimaan seseorang mad’u terhadap penyampaian seseorang da’ie bergantung kepada hubungan da’ie itu dengan Allah. Ummah kini tidak memerlukan orang yang hanya pandai berkata-kata semata-mata, tetapi ummah memerlukan seseorang yang mampu menjadi qudwah. Tidak dapat tidak, hablumminallah merupakan faktor dominan dalam menjamin kelangsungan mata rantai perjuangan Rasulullah.

Harapan yang amat besar daripada kami, agar generasi yang akan datang mengambil cakna tentang hubungan ahli dengan Allah, khususnya dari segi perlaksanaan taklifat ahli agar tarbiyyah yang diberi dapat dihayati sebaiknya.


"Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman dengan Allah dan Rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar."  (al-Hujuraat: 15)

Khulasahnya, mukmin yang menghayati perjuangan ialah orang-orang yang mana perasaan, percakapan, dan tindakan mereka dikuasai kesanggupan mereka terhadap perjuangan.

Menangislah Kerana Tuhanmu

Menangislah

“Uish kau menangis? Hilang macho.”
Cuma, mahu timbulkan satu persoalan. Apa yang tidak baik dengan menangis?

Menangis menzahirkan kesedihan…
Pengakuan bahawa lemahnya insan…
Melahirkan rasa penyesalan…
Memberi kesedaran tentang hakikat kehidupan…
Membina hati yang salim, yang sentiasa diberi peringatan…

Allah Ta’ala berfirman,

“Maka biarkanlah mereka tertawa sedikit dan menangis yang banyak, sebagai balasan terhadap apa yang mereka selalu perbuat.” (Surah At-Taubah, 9:82)

“…Maka celakalah mereka yang hatinya telah keras membatu untuk menerima peringatan dari Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Az-Zumar, 39:22)

Menangis sering dikaitkan dengan lembik dan lemah, kerana itu kaum lelaki khususnya, mengeraskan hati daripada menangis. Di sini saya bawakan satu kisah kisah, dalam kitab Mukasyafah al-Qulub karya Imam Ghazali, tentang seorang Khalifah yang gagah perkasa, berani dan tegas, amat digeruni oleh musuh Islam sehingga dikatakan, sekiranya dia melalui satu jalan, maka syaitan akan melalui jalan selainnya.

Saidina Umar al-Khattab Radhiallahu ‘Anhu.

Ya, dia memang tegas dengan musuhnya, tapi di hadapan Allah Azza wa Jalla, dialah hamba.

 Dikisahkan, Saidina Umar Radhiallahu ‘Anhu pernah jatuh pengsan  kerana takut ketika mendengar bacaan ayat suci Al-Quran. Pada suatu hari, dia mengambil sebatang jerami, lalu berkata,

“Aduhai, alangkah baiknya jika aku menjadi jerami dan tidak menjadi sesuatu yang disebut. Aduhai, alangkah baiknya jika dulu ibuku tidak melahirkanku.

Ia menangis teresak-esak hingga air mata membasahi pipinya. Oleh kerana itu, pada wajahnya ada garis bekas lelehan air mata.


Betapa dia takut menanggung amanah sebagai hamba dan takut akan peritnya azab Allah. Satu lagi kisah daripada buku yang sama.

Di dalam Raqaid al-Akhbar  disebutkan bahawa pada hari kiamat, didatangkan amalan kepada seorang hamba. Ternyata keburukannya lebih banyak. Lalu dia diperintahkan ke neraka. Kemudian, bulu matanya berkata, “Tuhanku, RasulMu Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang menangis kerana takut kepada Allah, Allah mengharamkan kepadanya api neraka” Kerana itu, aku pun menangis kerana takutkanMu.

Lalu Allah mengampuni dan mengeluarkannya daripada neraka dengan berkat sehelai bulu matanya yang ketika di dunia pernah menangis kerana takut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jibril ‘Alahissalam berseru, “Fulan ibn Fulan selamat kerana sehelai bulu mata.”

Subhanallah… Besarnya rahmat Allah.

Menangislah

Hatta Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam sendiri berdoa agar dikurniakan mata yang menangis kerana takutkan Allah. Hakikat mereka yang menangis ini, kerana mereka akhirnya mendapati Allah di hatinya. Mukmin itu, sentiasa berada di antara ketakutan dan pengharapan. Ketakutan kepada azab, pengharapan kepada rahmat dan redha Allah. Dan dua perkara ini tidak didapati kecuali di hati sebenar-benar hamba.

Menangislah kerana Rasulullah juga menangis kerana kita
Menangislah kerana Allah tak jemu mengampunkan kita
Menangislah kerana rahmat Allah begitu besar
Menangislah kerana nikmat Allah tidak terhitung
Menangislah kerana sakaratulmaut itu akan tiba
Menangislah kerana azab Allah terlalu perit
Menangislah kerana kita tidak layak untuk syurgaNya
Menangislah…


Lailatul Qadr, Kisah di Sebaliknya

Ibn Abbas رضي الله عنهما meriwayatkan, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bercerita bahawa baginda mendapat wahyu daripada Allah SWT tentang seorang lelaki bani israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat kagum lalu berdoa,


"Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan."


Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah
صلى الله عليه وسلم dengan memberikan lailatul qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan oleh lelaki bani israil itu untuk berjihad di jalan Allah.


Nama lelaki bani israil itu ialah Syam'un. Ia berperang melawan kaum kafir selama seribu bulan tanpa henti. Ia diberi kekuatan dan keberanian yang membuat musuh-musuhnya ketakutan. Lalu kaum kafir mendatangi isteri Syam'un. Mereka memujuk isterinya bahawa mereka akan memberi hadiah perhiasan emas jika ia dapat mengikat suaminya. Menurut perkiraan mereka, Syam'un dapat ditangkap dengan mudah jika dalam keadaan terikat.


Ketika Syam'un sedang tidur, secara diam-diam isterinya mengikat badan Syam'un dengan tali. Namun ketika Syam'un bangun, dengan mudahnya ia dapat memutuskan tali-tali yang mengikat tubuhnya.


"Apa maksudmu berbuat demikian kepadaku?" Tanya Syam'un kepada isterinya.


"Aku hanya ingin menguji kekuatanmu." Kata isterinya pura-pura.


Kaum kafir itu tidak berputus asa. Lalu mereka memberi rantai kepada isteri Syam'un dan memerintahkannya agar mengikat suaminya dengan rantai itu. Isteri Syam'un segera melaksanakannya. Namun sebagaimana kejadian sebelumnya, dengan mudah Syam'un dapat memutuskan rantai besi yang mengikat tubuhnya.


Iblis mendatangi kaum kafir lalu berkata kepada mereka agar mereka memerintahkan isteri Syam'un untuk bertanya kepada suaminya di mana letak kelemahannya. Setelah dipujuk, Syam'un mengatakan kepada isterinya bahawa kelemahannya ada pada lapan jambul kepalanya. Ketika Syam'un tidur, isterinya telah memotong jambul suaminya itu lalu mengikatkannya pada tubuhnya. Empat jambul digunakan untuk mengikat tangan dan empat jambul lagi untuk mengikat kakinya. Syam'un tidak mampu melepaskan dirinya daripada ikatan itu kerana itulah kelemahannya.


Akhirnya, kaum kafir dapat menangkap Syam'un lalu mereka menyeksanya. Telinga dan bibir Syam'un dipotong lalu badannya digantung di sebatang tiang yang sangat tinggi. Syam'un berdoa kepada Allah SWT  agar diberi kekuatan untuk melepaskan diri daripada penyeksaan musuh-musuhnya itu. Allah SWT memakbulkan doa Syam'un hingga ia dapat melepaskan diri dari tali-tali yang menjeratnya dan menghancurkan tiang yang digunakan untuk menggantungnya. Semua kaum kafir mati tertimpa tiang tersebut.


Para sahabat Rasulullah
صلى الله عليه وسلم sangat kagum mendengar cerita itu. Mereka bertanya,


"Ya Rasulullah, dapatkah kami memperoleh pahala sebagaimana yang diperolehi Syam'un?"


"Aku sendiri tidak tahu," jawab Rasulullah
صلى الله عليه وسلم.


Kemudian baginda berdoa kepada Allah SWT. Allah SWT mengabulkan dengan memberikan malam lailatul qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang dipakai Syam'un untuk berjihad di jalan Allah SWT.


[[Mukasyafah al-Qulub, karangan Imam al-Ghazali]]


~Bagaimana besarnya rahmat dan nikmat Allah kepada kita, dan tiada yang menyedari dan mensyukuri nikmat ini kecuali mereka yang kehilangannya; iaitu ahli qubur.


~Bagaimana nilaian peluang beribadah, Allah kurniakan melalui jerih perih dan sengsara mereka yang terdahulu.


~Bagaimana kita mahu mula berusaha, menyedari dan berusaha mencari peluang-peluang ibadah, khususnya malam lailatul qadr yang tidak lama lagi.


Tidakkah kita berfikir? Mari kita berfikir

Ikhtilat Lelaki dan Perempuan

Ini cuma pandangan saya, boleh dihujah dan dibantah semula. Sebarang teguran amat dialu-alukan.

Fenomena hari ini sangat ajaib di mana pelajar sekolah agama, hatta institusi tahfiz sendiri, pasti berlaku gejala kapel. Ya, rasa suka itu ada dalam setiap individu. Allah jadikan perempuan tertarik pada lelaki dan begitulah sebaliknya. 

Remaja ini mempunya naluri berhibur dan mencari keseronokan, atau dalam istilah kini, hedonisme. Teringat pula teks forum saya,

"Naluri berhibur dan mencari keseronokan atau hedonisme, merupakan fitrah semulajadi, yang ada pada setiap individu."

Tak, itu bukan perkara negatif. Namun bagaimana kita salurkan naluri itu. Ada orang hiburannya dengan al-Quran, hiburannya dengan zikir, keseronokannya ketika menelaah pelajaran. 

Abi Sheikh Nuruddin al-Banjari ada menceritakan dalam salah sebuah nukilannya, Muhammad bin al-Hasan apabila berjaga malam dan menyelesaikan pelbagai kemusykilan ilmu, beliau berkata, 

"Di manakah anak-anak raja akan mendapat kelazatan-kelazatan ini?"

Ehe baik. Jauh amatlah keseronokan para ulamak dengan kita. 

Salah satu saluran itu yang mahu saya kupas dan bidas, iaitu dengan cara mengambil mudah dalam penjagaan ikhtilat. Maksud saya di sini, tidak semestinya berpasangan, tapi melebihi batas-batas ikhtilat yang dikenakan syarak.

Andai dirujuk dalam buku Tarbiah Sentap, Akh Adnin Roslan amat tegas dalam penjagaannya. 

Saya pernah berada dalam 2 situasi yang cukup, cukup kontras. Situasi pertama, biah masturah. Yang mana semua muslimat diwajibkan berpurdah. Tidak dibenarkan langsung berbicara dengan muslimin. Andai ustaz mengajar kuliah muslimat, pandangannya langsung tidak diangkat kepada muslimat, matanya berterusan di kitab hingga habis kuliah.

Situasi kedua, lelaki dan perempuan ada melakukan program bermalam dalam sebuah rumah. Bebas berkongsi kereta, keluar bersama hingga dua tiga pagi. (Ini pemerhatian saya sepanjang bersama mereka, bukan pengalaman saya sepenuhnya). Namun masih terkawal, tidak berlaku sebarang sentuhan, kemelampauan dan sebagainya. Cuma sedikit bebas.

Terus teranglah saya katakan, kebebasan ini, membawa kerosakan pada hati kita.
Menjejaskan maruah kita. Membunuh sifat malu dalam diri kita khususnya muslimat.

Jagalah. Mahalkan diri. Ya, ikhtilat ini seronok. Kerana itu manusia tenggelam di dalamnya. 

Muslimat, kamu, dengan kebebasan dan kononnya 'sporting' yang kamu tampilkan ketika berikhtilat dengan lelaki, kamu sebenarnya sekadar menjadi hiburan kepada lelaki. Hatta dalam berpakaian, ulasan dari majlis ta'lim yang disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar al-Hamid, andai kita berpakaian dengan tabarruj, apalagi sehingga mendedahkan aurat, ia adalah kerana kita menjadi selera kepada lelaki. (Nauzubillah)

Begitu juga lelaki. Dalam kuliah yang sama Habib Ali menerangkan, kewajipan penjagaan kehormatan perempuan itu pertamanya ke atas lelaki. Dengan lelaki menjaga kehormatan diri mereka lelaki itu sendiri, perempuan boleh menjaga kehormatan mereka. Kerana lelaki mutolib (mencari) dan perempuan mutolab (dicari). 

Janganlah. Jaga, jaga, jaga hati kita. Kosongkan biar cuma kepada Allah, Rasul Sallallahu Alaihi wa Sallam, dan ibu bapa kita. Soal jodoh perkahwinan, itukan kerja Tuhan. Lagipun, yakinkah kita jodoh kita masih hidup di dunia? 


Sudahlah. Ia mencuri masa muda kita. Ia mencuri perkara paling berharga dalam hidup kita.

Pemikiran, percakapan, penulisan kita tidak perlulah menyentuh soal hati. Soal imam, makmum. Angan-angan kosong tentang nikah dan cinta setelahnya.

Istilah yang saya beri untuk perkara-perkara sebegini; LEMAH DAN MELEMAHKAN!

Ketika muda ini, tuntutlah ilmu, hafazlah ilmu, hafazlah Quran. Alih fokus hidup kepada perkara yang lebih penting.

Melihat di Sebalik Hari Lahir

Apabila tiba hari lahir, maka ada yang buat surprise, ada yang siap jamuan, hari itu penuh dengan ucapan dan doa sahabat-sahabat.

Kadang-kadang setiap individu ternanti-nanti hari jadinya setiap tahun.

Cuma kini, apabila meningkatnya umur, kita perlu berfikir dengan lebih dalam. Hikmah dan kejadian di sebalik hari jadi.

Ulangtahun apakah ini?
Memperingati apakah ini?
Apa yang berlaku pada hari ini?
Siapa yang terlibat dalam peristiwa bersejarah ini?

Fikir semula. Berfikir itu galakan agama.

Hari ini, kita dilahirkan.
Hari ini, perjanjian kita di alam ruh akan menjadi rasmi.
Hari ini, seorang khalifah dilahirkan.
Hari ini, seorang hamba dilahirkan.
Hari ini, ibu kita sakit kerana kita.
Hari ini, kita selamat tiba di dunia.
Hari ini, kita mendekati kematian.
Hari ini, kita bertambah umur dan dosa.
Hari ini, masih sempatkah untuk bertaubat?

Fikir lagi. Hari ini, hari apa. Hari jumaat, baiklah -_-

Senaraikan perkara yang patut dan tak patut dilakukan oleh kita pada hari kelahiran ini. Ubahlah. Jadikannya hari yang barokah di sisi Allah.

1) Sujud syukur. Sepanjang umur kita, begitu banyak nikmat Tuhan, yang kita lupa untuk syukuri.

2) Berterima kasih kepada ibu kita.

Saya anak kedua bongsu, tidak sempat dengan adik yang masih bayi.

Jadi... apabila kakak dan abang saya mempunyai anak, cara mereka menjaga dan mencurah kasih sayang kepada anak mereka. MashaAllah... begitulah ibu bapa kita dulu. Waktu itu baru aku sedar, tak terucap ucapan terima kasih.

Apa yang ibu kita buat pada kita, tidak akan terbalas walau kita beri segalanya di atas muka bumi ini.

Dalam hadis, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ada sebut, walaupun kita mendapati ibu kita sebagai hamba, lalu kita membelinya lalu memerdekakannya, itu masih tidak mampu membalas jasa ibu kita.

Menangislah, telefon mereka. Ucap terima kasih kerana lahirkan kita di dunia. Walaupun bunyi sangat awkward, boleh jadi itu ucapan yang ibu kita tunggu selama berbelas tahun kita berada di atas muka bumi ini. Mana tahu?

3) Muhasabah dan tafakkur.

Jadikan hari ini penghadang pada api neraka. Cari ceramah, tazkirah, banyakkan istighfar, sucikan hati. Buat solat sunat taubat. Letakkan tahun ini sebagai tahun yang terbaik.

Saya selalu fikir, kalau nak tahu sama ada kita dah buat yang terbaik atau belum dalam amalan dan ibadah sehari-hari, adakah kita sanggup mati setelahnya atau semasa melaksanakannya?

Kerana jika difikirkan, mati dalam keadaan itu jauh lebih baik dari mati dalam kelalaian. Tetapi, jika ditanya, sanggupkah kita mati setelah melaksanakannya? Allah...

Begitu juga tahun ini. Meningkatnya umur, adakah meningkat amalan?

"Belum datangkah waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah?"
(Surah Al-Hadiid: 16)


Friday, 4 September 2015

Pelajar Sekolah Agama

Kita, apabila pernah menjejak ke sekolah agama, atau mengambil jurusan melibatkan agama, maka penilaian manusia terhadap agama itu kepada kita terlebih dahulu, bahkan KPI penilaian mereka kepada kita lebih tinggi berbanding pelajar sekolah menengah atau selainnya.

Iya, walaupun yang lain itu beragama Islam, sama seperti kita.

Adilkah penilaian manusia apabila kita yang mengambil jurusan agama, belajar bahasa arab ini dinilai lebih, sedangkan kita semua sama-sama beragama?

Nah, inilah pincang penilaian manusia. Kerana itu, setiap kesalahan kita, sekecil-kecil perkara pasti mendapat teguran dan ancaman. Kerana mereka melihat kita memikul nama agama, dan realitinya, mereka benar.

Iya, walaupun yang lain itu beragama Islam, sama seperti kita.

Wajarlah kita perhatikan, yang tahu tidak akan sama dengan yang tidak tahu. Adapun yang tahu, yang sedar tidak akan sama dengan yang tidak sedar.

Yang direzekikan Allah peluang pendedahan dan penekanan soal agama, aurat, ikhtilat dan sebagainya, tidak akan sama dengan yang tidak direzekikan pendedahan itu.

Tidak akan sama, dari cabaran melakukan hingga pembalasannya di akhirat kelak.

Berbanggalah dinilai dan dibash kerana perilaku tidak sesuai dengan ketinggian agama Islam, itu suatu bentuk teguran rahmat dari Tuhan untuk kita mengambil pengajaran. Jangan bash balik penegurnya, itu bukan ajaran agama.

Jagalah kepercayaan orang terhadap kita, thiqah ini suatu perkara yang mudah terhempas dan berderai. Apalagi apabila dilingkungi manusia dengan latar belakang dan agama yang berbeza. Kita akan dinilai dari sekecil-kecil perkara, cara berpakaian, disiplin, lewat atau awal ke kelas, fokus kita dalam kelas, ceramah, semuanya dan kerana pincangnya penilaian mereka, kemuliaan agama terpalit sama.

Kita tak boleh menghentikan manusia dari menilai, kita sendiri tak dapat berhenti dari menilai. Maka menjaga ketinggian agama itu menjadi tanggungjawab kita, dengan menjaga perilaku dan kepercayaan manusia pada kita. Sama-sama usaha.

Tidakkah kita berfikir, mari kita berfikir.

Sunday, 9 August 2015

Peranan Muslimat Di Medan Amal Islami

Ini merupakan tajuk buku nukilan Sheikh Dr Faisal Mawlawi, yang diterjemah oleh ustazah Nafisah Tahir.

دور المرأة في العمل الاسلامي

Saya tidak mahu menghurai apa itu amal islami, kerana saya sendiri bukanlah begitu faqih tentangnya. Yang mahu saya tekankan di sini ialah peranan muslimat.

Semasa saya tingkatan 5 dan sepanjang cuti selepas SPM, saya mengalami krisis pembawaan diri. Kerana saya terlibat dengan gerak kerja dan organisasi sejak dari tingkatan 3. Saya didedahkan dengan ilmu kepimpinan, pengurusan organisasi, dan yang berkaitan dengannya. Dan saya secara peribadi meminati bidang tersebut.

Namun, saya dijerut persoalan dan pertanyaan, setara mana kewajipan, atau tuntutan bagi muslimat, untuk turun dalam medan dakwah dan masyarakat, memegang jawatan dan kepimpinan.

Sebagaimana yang diketahui, muslimat adalah fitnah bagi muslimin. Dan sebaik-baik muslimat yang tidak dipandang dan memandang. Namun, jika kita terlibat dengan gerak kerja dan organisasi, bukankah diri kita lebih terdedah pada pandangan ajnabiy?

Saya jadi keliru. Banyak pendapat dan pandangan. Dan saya pasti ada segelintir muslimat di luar sana turut mengalami situasi yang sama dengan saya. Jadi dengan rahmat Allah, Allah mempertemukan saya dengan buku ini.

Sheikh Dr Faisal Mawlawi merupakan Penasihat Agama Pertubuhan Organisasi-organisasi Islam Eropah. Dalam buku ini, didedahkan tentang fahaman-fahaman yang melemahkan penglibatan muslimat di medan amal islami.

Pada awalnya, berat untuk saya menerima kerana di sini banyak menyalahkan muslimin, atau khususnya para suami. Namun bacaan seterusnya meredakan hati saya.

Antara ringkasan intipati yang saya cari ialah berkenaan keizinan untuk muslimat turun di medan amal islami.

Awlawiyyat muslimat, tetap kepada keluarga, namun tanggungjawab ini juga wajib melihatkan kepada ketenatan ummah sekarang. Dalam apa jua keadaan sekalipun, izin suami yang utama, walaupun suami enggan mengizinkan dengan alasan yang tidak sepatutnya, suami berdosa tetapi isteri tetap wajib mentaatinya. Walaubagaimana pun, terdapat ketetapan syarak yang wajib diperhalusi oleh muslimat dalam keterlibatan mereka.

Untuk lebih jelas dan wadhih, carilah buku ini.

Seterusnya, bahagian ini yang menthabatkan saya. Iaitu keberuntungan wanita muslimah di dalam gerakan Islam daripada Dr Wahibah Twahir. Kerana saya sendiri merasakan keberuntungan itu walaupun baru setahun jagung dan sumbangan tidak lebih dari separuh kuman dalam gerakan ini.


وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah:71)

Akhir sekali, saya tidaklah terlalu kuat berpegang pada pandangan ini, saya masih mencari pandangan-pandangan lain yang relevan mengikut situasi diri, keluarga dan keadaan semasa.

Semoga dipermudah urusan kita-kita