Monday, 7 September 2015

Melihat di Sebalik Hari Lahir

Apabila tiba hari lahir, maka ada yang buat surprise, ada yang siap jamuan, hari itu penuh dengan ucapan dan doa sahabat-sahabat.

Kadang-kadang setiap individu ternanti-nanti hari jadinya setiap tahun.

Cuma kini, apabila meningkatnya umur, kita perlu berfikir dengan lebih dalam. Hikmah dan kejadian di sebalik hari jadi.

Ulangtahun apakah ini?
Memperingati apakah ini?
Apa yang berlaku pada hari ini?
Siapa yang terlibat dalam peristiwa bersejarah ini?

Fikir semula. Berfikir itu galakan agama.

Hari ini, kita dilahirkan.
Hari ini, perjanjian kita di alam ruh akan menjadi rasmi.
Hari ini, seorang khalifah dilahirkan.
Hari ini, seorang hamba dilahirkan.
Hari ini, ibu kita sakit kerana kita.
Hari ini, kita selamat tiba di dunia.
Hari ini, kita mendekati kematian.
Hari ini, kita bertambah umur dan dosa.
Hari ini, masih sempatkah untuk bertaubat?

Fikir lagi. Hari ini, hari apa. Hari jumaat, baiklah -_-

Senaraikan perkara yang patut dan tak patut dilakukan oleh kita pada hari kelahiran ini. Ubahlah. Jadikannya hari yang barokah di sisi Allah.

1) Sujud syukur. Sepanjang umur kita, begitu banyak nikmat Tuhan, yang kita lupa untuk syukuri.

2) Berterima kasih kepada ibu kita.

Saya anak kedua bongsu, tidak sempat dengan adik yang masih bayi.

Jadi... apabila kakak dan abang saya mempunyai anak, cara mereka menjaga dan mencurah kasih sayang kepada anak mereka. MashaAllah... begitulah ibu bapa kita dulu. Waktu itu baru aku sedar, tak terucap ucapan terima kasih.

Apa yang ibu kita buat pada kita, tidak akan terbalas walau kita beri segalanya di atas muka bumi ini.

Dalam hadis, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ada sebut, walaupun kita mendapati ibu kita sebagai hamba, lalu kita membelinya lalu memerdekakannya, itu masih tidak mampu membalas jasa ibu kita.

Menangislah, telefon mereka. Ucap terima kasih kerana lahirkan kita di dunia. Walaupun bunyi sangat awkward, boleh jadi itu ucapan yang ibu kita tunggu selama berbelas tahun kita berada di atas muka bumi ini. Mana tahu?

3) Muhasabah dan tafakkur.

Jadikan hari ini penghadang pada api neraka. Cari ceramah, tazkirah, banyakkan istighfar, sucikan hati. Buat solat sunat taubat. Letakkan tahun ini sebagai tahun yang terbaik.

Saya selalu fikir, kalau nak tahu sama ada kita dah buat yang terbaik atau belum dalam amalan dan ibadah sehari-hari, adakah kita sanggup mati setelahnya atau semasa melaksanakannya?

Kerana jika difikirkan, mati dalam keadaan itu jauh lebih baik dari mati dalam kelalaian. Tetapi, jika ditanya, sanggupkah kita mati setelah melaksanakannya? Allah...

Begitu juga tahun ini. Meningkatnya umur, adakah meningkat amalan?

"Belum datangkah waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah?"
(Surah Al-Hadiid: 16)


No comments:

Post a Comment