Ibn Abbas رضي الله عنهما meriwayatkan, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bercerita bahawa baginda mendapat
wahyu daripada Allah SWT tentang seorang lelaki bani israil yang berjihad di
jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat kagum lalu berdoa,
"Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan
sedikit amalan."
Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan memberikan lailatul qadar yang
nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan oleh lelaki bani
israil itu untuk berjihad di jalan Allah.
Nama lelaki bani israil itu ialah Syam'un. Ia berperang melawan kaum kafir
selama seribu bulan tanpa henti. Ia diberi kekuatan dan keberanian yang membuat
musuh-musuhnya ketakutan. Lalu kaum kafir mendatangi isteri Syam'un. Mereka
memujuk isterinya bahawa mereka akan memberi hadiah perhiasan emas jika ia
dapat mengikat suaminya. Menurut perkiraan mereka, Syam'un dapat ditangkap
dengan mudah jika dalam keadaan terikat.
Ketika Syam'un sedang tidur, secara diam-diam isterinya mengikat badan Syam'un
dengan tali. Namun ketika Syam'un bangun, dengan mudahnya ia dapat memutuskan
tali-tali yang mengikat tubuhnya.
"Apa maksudmu berbuat demikian kepadaku?" Tanya Syam'un kepada
isterinya.
"Aku hanya ingin menguji kekuatanmu." Kata isterinya pura-pura.
Kaum kafir itu tidak berputus asa. Lalu mereka memberi rantai kepada isteri
Syam'un dan memerintahkannya agar mengikat suaminya dengan rantai itu. Isteri
Syam'un segera melaksanakannya. Namun sebagaimana kejadian sebelumnya, dengan
mudah Syam'un dapat memutuskan rantai besi yang mengikat tubuhnya.
Iblis mendatangi kaum kafir lalu berkata kepada mereka agar mereka
memerintahkan isteri Syam'un untuk bertanya kepada suaminya di mana letak
kelemahannya. Setelah dipujuk, Syam'un mengatakan kepada isterinya bahawa
kelemahannya ada pada lapan jambul kepalanya. Ketika Syam'un tidur, isterinya
telah memotong jambul suaminya itu lalu mengikatkannya pada tubuhnya. Empat
jambul digunakan untuk mengikat tangan dan empat jambul lagi untuk mengikat
kakinya. Syam'un tidak mampu melepaskan dirinya daripada ikatan itu kerana
itulah kelemahannya.
Akhirnya, kaum kafir dapat menangkap Syam'un lalu mereka menyeksanya. Telinga
dan bibir Syam'un dipotong lalu badannya digantung di sebatang tiang yang
sangat tinggi. Syam'un berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk
melepaskan diri daripada penyeksaan musuh-musuhnya itu. Allah SWT memakbulkan
doa Syam'un hingga ia dapat melepaskan diri dari tali-tali yang menjeratnya dan
menghancurkan tiang yang digunakan untuk menggantungnya. Semua kaum kafir mati
tertimpa tiang tersebut.
Para sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم
sangat kagum mendengar cerita itu. Mereka bertanya,
"Ya Rasulullah, dapatkah kami memperoleh pahala sebagaimana yang
diperolehi Syam'un?"
"Aku sendiri tidak tahu," jawab Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Kemudian baginda berdoa kepada Allah SWT. Allah SWT mengabulkan dengan
memberikan malam lailatul qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan
yang dipakai Syam'un untuk berjihad di jalan Allah SWT.
[[Mukasyafah al-Qulub, karangan Imam al-Ghazali]]
~Bagaimana besarnya rahmat dan nikmat Allah kepada kita, dan tiada yang
menyedari dan mensyukuri nikmat ini kecuali mereka yang kehilangannya; iaitu ahli
qubur.
~Bagaimana nilaian peluang beribadah, Allah kurniakan melalui jerih perih dan
sengsara mereka yang terdahulu.
~Bagaimana kita mahu mula berusaha, menyedari dan berusaha mencari
peluang-peluang ibadah, khususnya malam lailatul qadr yang tidak lama lagi.
Tidakkah kita berfikir? Mari kita berfikir
No comments:
Post a Comment