Saturday, 19 September 2015

Menghazaf Rasa


Lama kutegah diri dari menulis soal hati, usus dan limpa ini.

Takut memberi kesan negatif pada diri. Kerana jika diperhatikan, Allah akan menguji kita, dengan apa yang kita sampaikan pada orang lain. Dalam kata lain, diuji dengan kata-kata. Tapi, ini salah satu cara bagi diri ini, mencabar diri, menulis, moga-moga turut diberi kekuatan.

Baik anak-anak, mari mendekat. Mak nak bercerita.

Ada suatu masa, setiap kita akan diuji dengan kelemahan kita, dengan perasaan suka dan rindu pada ajnabiy. Mungkin kita tidak akan diuji dengan lelaki bermulut manis atau playgirl. Tapi kita akan diuji dengan lelaki yang hebat ilmu, agama dan kepimpinannya. Ada juga yang sebaliknya.

Kerana kita diuji dengan kelemahan kita. Ada yang berpendapat, rasa ini fitrah, tidak mengapa dibiarkan, asal tidak melanggar syariat. Tetapi bagi saya tidak. Pemuda pemikir ummah tiada masa berfikir soal suka atau rindu yang melalaikan. Nukilan Dr Zainur Rashid Zainuddin di laman sosial facebooknya,

siapakah golongan muda yang dikagumi Allah ? 
قال صلى الله عليه وسلم: إن الله عز وجل ليعجب من الشاب ليست له صبوة.رواه الإمام أحمد 
Rasulullah saw bersabda:`Sesungguhnya Allah Azza wajalla kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya sifat sobwah'.(Hadith riwayat Imam Ahmad) 
Sobwah di sini membawa beberapa maksud ; 
1- Bersifat kebudak-budakan dan tidak matang  
2- Suka buang masa dan tidak mahu ambil tanggungjawab 
3- Suka mencari perhatian orang 
4- Tidak mampu mengawal emosi dan perasaan sehingga boleh menimbulkan kesan buruk kepada diri sendiri atau orang lain. 
Ringkasnya, Allah swt mencintai dan mengkagumi anak-anak muda yang matang, bertanggung-jawab, tidak membuang masa dan mempunyai kehidupan beragenda untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara 

Tiadalah jaminan bahawa rasa itu terhazaf serta-merta, setidaknya menunjukkan usaha kita untuk mengelakkannya.

Beberapa usaha hati yang boleh saya senaraikan di sini,

1. Kesedaran

Kita harus sedar bahawa bahaya perasaan ini kita mula menjadikan hati kita bercabang tujuannya.

Bahaya hati bercabang kepada seorang penuntut ilmu. Abi Syeikh Nuruddin al-Banjari ada menukilkan dalam kitabnya, Martabat Ilmu dan Ulama', terjemahan al-Fadhil ustaz Subki (Mudir Pondok Tahfiz Repek, Pasir Mas), ulama' dahulu suka menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu jauh dari kampung halaman, agar hati mereka fokus kepada menuntut ilmu.

Kerana mereka yang hatinya bercabang-cabang, susah untuk memahami hakikat sesuatu ilmu.

Itu jika dicabangkan dengan kesenangan di rumah dan rindu pada ibu bapa. Jika dicabangkan dengan ajnabiy? Apa akan berlaku pada keberkatan ilmu kita? Belajar bertahun-tahun tanpa barokah, itu kerugian yang nyata.

Itu dalam menuntut ilmu. Belum dikira dalam amalan dan ibadah. Kerana itu kita harus sentiasa berhati-hati dengan hati kita. Niatnya diqasad tanpa kita sedar sama ada niat itu memberi manfaat atau mudharat pada diri kita dunia akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 15-16 :

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ (15)


Maksudnya : "Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan."(Surah Huud (11) ayat 15)


Jika amal kita di dasari kerana dunia, Allah akan berikan ganjaran dunia yang kita inginkan itu..
.
أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (16)

Maksudnya : "Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan".(Surah Huud (11) ayat 16)


Dan di akhirat, kita tidak akan memperoleh apa-apa. Itulah niat, andai didasari dengan perkara sementara, ganjarannya juga sementara.

2. Menganggap rasa itu sebagai ujian semata-mata.

Pernahlah diri ini bercerita kepada sahabat, soal hati ini kepada Pencipta, bagaimana tidak mahu didua atau ditiga dengan ciptaanNya. Jawabnya,


Kadang-kadang, kita mudah terperasan.

"Banyak kebetulan aku dan dia, hari ini jam dia warna biru, stokin aku juga biru, adakah ini petanda dari Tuhan?" 
"Diakah jodoh yang ditakdir untuk memandu ferarri menumpangkan aku syurga Ilahi?" 
"Lihatlah betapa banyaknya group whatsapp kami bersama, mungkinkah ini suratan takdir?"



Tidak nafikan tidak salah memikirkan soal jodoh. Tapi jika rasa diri belum bersedia dan belum tiba masa, pandai-pandailah bezakan, antara berfikir soal jodoh atau tidak, yang mana lebih memberi manfaat berbanding mudharat? Ini cuma pandangan peribadi saya.

Hakikatnya dia hadir dalam hidup kita, sekadar ujian yang akan pergi. Seolah-olah angin lalu yang memberi nyaman dan bimbang, kemudian hilang meniup yang lain pula. Dan di saat dia menimpa kita, apa tindakan kita terhadap ujian Tuhan itu? Itu sahaja.

Jangan fikir terlalu jauh, anggap sahaja itu semua hasutan syaitonirrajim.
"Tapi awak pernah cakap berfikir itu galakan ugama"
Iya, fikir hikmah Tuhan, fikir diri perlu ilmu dan reformasi pemikiran, fikir masyarakat tak cukup makan, fikir kehidupan dalam kebatilan, fikir akademik bagaimana peningkatan, fikir jasa ibu ayah apa untuk dibalaskan, bukan soal jodoh dan perasaan. Ini lemah dan melemahkan!

3. Elakkan perjumpaan atau perhubungan tanpa tujuan

Fikir, apa tujuan ini? Anggaplah, andai kita sedar tiada tujuan yang jelas, kita sedang melunaskan tujuan syaitan. Teruskan mujahadah :)

4. Belajar kaedah ikhtilat yang selamat

Jika berbincang, kurangkan pandangan dari mata ke mata. Di sini panahan syaitan bermula.
Cuba memandang dengan sedikit pesongan (ceh). Sama ada dinding di belakang atau cicak berkejaran, tapi jangan tundukkan pandangan atau melihat barangan di tangan (terutama telefon bimbit), dianggap kurang adab dalam komunikasi. Beri perhatian, respon dengan mengangguk dan lihat padanya sekali sekala. InshaAllah hati lebih terjaga. Fuhh detail habis!

Jika memberi barangan, elakkan penyampaian dari tangan ke tangan. Letak sahaja di atas meja. Apalagi barangan yang kecil seperti duit, pemadam dan sebagainya. Jika tiada meja, kertas, buku atau apa sahaja di sekeliling juga sedia membantu. Tapi jika selamat dari sebarang sentuhan, tiada masalah, tapi kalau boleh elakkan. Siapa tahu, satu sentuhan kulit ajnabiy itu mampu mengganggu ibadah selama seminggu, siapa tahu?

Jika di alam maya, ini tertakluk atas individu. Saya sendiri tidak terlalu syadid soal ini, tetapi, kurangkan private message jika tidak perlu. Delete conversation jika tidak penting, bagi mengelakkan kita belek semula masa bosan.

Banyak lagi kaedah selamat dalam berikhtilat. Boleh lebih mengkaji dan mendalami. Ini sekadar pandangan saya. Saya sendiri terutamanya semoga diberi kekuatan...

5. Sibukkan diri

Penuhkan jadual, bersama buku, esaimen, sahabat, jangan bersendiri. Tengok movie, baca Quran dan sebagainya, asalkan otak kita bergerak. Paling koman, tidur jelah...

6. Tawakkal
Allah ada berfirman, mafhumnya,

"Apabila kamu berazam bertawakkallah pada Allah."
(Ali Imran: 159)
Kerana akhirnya yang memberi hidayah itu hanyalah Allah. Mintalah padaNya natijah terbaik daripada usaha ini, dan semoga keredhaanNya bersama-sama. 

No comments:

Post a Comment