Monday 7 September 2015

Ikhtilat Lelaki dan Perempuan

Ini cuma pandangan saya, boleh dihujah dan dibantah semula. Sebarang teguran amat dialu-alukan.

Fenomena hari ini sangat ajaib di mana pelajar sekolah agama, hatta institusi tahfiz sendiri, pasti berlaku gejala kapel. Ya, rasa suka itu ada dalam setiap individu. Allah jadikan perempuan tertarik pada lelaki dan begitulah sebaliknya. 

Remaja ini mempunya naluri berhibur dan mencari keseronokan, atau dalam istilah kini, hedonisme. Teringat pula teks forum saya,

"Naluri berhibur dan mencari keseronokan atau hedonisme, merupakan fitrah semulajadi, yang ada pada setiap individu."

Tak, itu bukan perkara negatif. Namun bagaimana kita salurkan naluri itu. Ada orang hiburannya dengan al-Quran, hiburannya dengan zikir, keseronokannya ketika menelaah pelajaran. 

Abi Sheikh Nuruddin al-Banjari ada menceritakan dalam salah sebuah nukilannya, Muhammad bin al-Hasan apabila berjaga malam dan menyelesaikan pelbagai kemusykilan ilmu, beliau berkata, 

"Di manakah anak-anak raja akan mendapat kelazatan-kelazatan ini?"

Ehe baik. Jauh amatlah keseronokan para ulamak dengan kita. 

Salah satu saluran itu yang mahu saya kupas dan bidas, iaitu dengan cara mengambil mudah dalam penjagaan ikhtilat. Maksud saya di sini, tidak semestinya berpasangan, tapi melebihi batas-batas ikhtilat yang dikenakan syarak.

Andai dirujuk dalam buku Tarbiah Sentap, Akh Adnin Roslan amat tegas dalam penjagaannya. 

Saya pernah berada dalam 2 situasi yang cukup, cukup kontras. Situasi pertama, biah masturah. Yang mana semua muslimat diwajibkan berpurdah. Tidak dibenarkan langsung berbicara dengan muslimin. Andai ustaz mengajar kuliah muslimat, pandangannya langsung tidak diangkat kepada muslimat, matanya berterusan di kitab hingga habis kuliah.

Situasi kedua, lelaki dan perempuan ada melakukan program bermalam dalam sebuah rumah. Bebas berkongsi kereta, keluar bersama hingga dua tiga pagi. (Ini pemerhatian saya sepanjang bersama mereka, bukan pengalaman saya sepenuhnya). Namun masih terkawal, tidak berlaku sebarang sentuhan, kemelampauan dan sebagainya. Cuma sedikit bebas.

Terus teranglah saya katakan, kebebasan ini, membawa kerosakan pada hati kita.
Menjejaskan maruah kita. Membunuh sifat malu dalam diri kita khususnya muslimat.

Jagalah. Mahalkan diri. Ya, ikhtilat ini seronok. Kerana itu manusia tenggelam di dalamnya. 

Muslimat, kamu, dengan kebebasan dan kononnya 'sporting' yang kamu tampilkan ketika berikhtilat dengan lelaki, kamu sebenarnya sekadar menjadi hiburan kepada lelaki. Hatta dalam berpakaian, ulasan dari majlis ta'lim yang disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar al-Hamid, andai kita berpakaian dengan tabarruj, apalagi sehingga mendedahkan aurat, ia adalah kerana kita menjadi selera kepada lelaki. (Nauzubillah)

Begitu juga lelaki. Dalam kuliah yang sama Habib Ali menerangkan, kewajipan penjagaan kehormatan perempuan itu pertamanya ke atas lelaki. Dengan lelaki menjaga kehormatan diri mereka lelaki itu sendiri, perempuan boleh menjaga kehormatan mereka. Kerana lelaki mutolib (mencari) dan perempuan mutolab (dicari). 

Janganlah. Jaga, jaga, jaga hati kita. Kosongkan biar cuma kepada Allah, Rasul Sallallahu Alaihi wa Sallam, dan ibu bapa kita. Soal jodoh perkahwinan, itukan kerja Tuhan. Lagipun, yakinkah kita jodoh kita masih hidup di dunia? 


Sudahlah. Ia mencuri masa muda kita. Ia mencuri perkara paling berharga dalam hidup kita.

Pemikiran, percakapan, penulisan kita tidak perlulah menyentuh soal hati. Soal imam, makmum. Angan-angan kosong tentang nikah dan cinta setelahnya.

Istilah yang saya beri untuk perkara-perkara sebegini; LEMAH DAN MELEMAHKAN!

Ketika muda ini, tuntutlah ilmu, hafazlah ilmu, hafazlah Quran. Alih fokus hidup kepada perkara yang lebih penting.

No comments:

Post a Comment