Friday 4 September 2015

Pelajar Sekolah Agama

Kita, apabila pernah menjejak ke sekolah agama, atau mengambil jurusan melibatkan agama, maka penilaian manusia terhadap agama itu kepada kita terlebih dahulu, bahkan KPI penilaian mereka kepada kita lebih tinggi berbanding pelajar sekolah menengah atau selainnya.

Iya, walaupun yang lain itu beragama Islam, sama seperti kita.

Adilkah penilaian manusia apabila kita yang mengambil jurusan agama, belajar bahasa arab ini dinilai lebih, sedangkan kita semua sama-sama beragama?

Nah, inilah pincang penilaian manusia. Kerana itu, setiap kesalahan kita, sekecil-kecil perkara pasti mendapat teguran dan ancaman. Kerana mereka melihat kita memikul nama agama, dan realitinya, mereka benar.

Iya, walaupun yang lain itu beragama Islam, sama seperti kita.

Wajarlah kita perhatikan, yang tahu tidak akan sama dengan yang tidak tahu. Adapun yang tahu, yang sedar tidak akan sama dengan yang tidak sedar.

Yang direzekikan Allah peluang pendedahan dan penekanan soal agama, aurat, ikhtilat dan sebagainya, tidak akan sama dengan yang tidak direzekikan pendedahan itu.

Tidak akan sama, dari cabaran melakukan hingga pembalasannya di akhirat kelak.

Berbanggalah dinilai dan dibash kerana perilaku tidak sesuai dengan ketinggian agama Islam, itu suatu bentuk teguran rahmat dari Tuhan untuk kita mengambil pengajaran. Jangan bash balik penegurnya, itu bukan ajaran agama.

Jagalah kepercayaan orang terhadap kita, thiqah ini suatu perkara yang mudah terhempas dan berderai. Apalagi apabila dilingkungi manusia dengan latar belakang dan agama yang berbeza. Kita akan dinilai dari sekecil-kecil perkara, cara berpakaian, disiplin, lewat atau awal ke kelas, fokus kita dalam kelas, ceramah, semuanya dan kerana pincangnya penilaian mereka, kemuliaan agama terpalit sama.

Kita tak boleh menghentikan manusia dari menilai, kita sendiri tak dapat berhenti dari menilai. Maka menjaga ketinggian agama itu menjadi tanggungjawab kita, dengan menjaga perilaku dan kepercayaan manusia pada kita. Sama-sama usaha.

Tidakkah kita berfikir, mari kita berfikir.

1 comment: