Monday 7 September 2015

Lailatul Qadr, Kisah di Sebaliknya

Ibn Abbas رضي الله عنهما meriwayatkan, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bercerita bahawa baginda mendapat wahyu daripada Allah SWT tentang seorang lelaki bani israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat kagum lalu berdoa,


"Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan."


Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah
صلى الله عليه وسلم dengan memberikan lailatul qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan oleh lelaki bani israil itu untuk berjihad di jalan Allah.


Nama lelaki bani israil itu ialah Syam'un. Ia berperang melawan kaum kafir selama seribu bulan tanpa henti. Ia diberi kekuatan dan keberanian yang membuat musuh-musuhnya ketakutan. Lalu kaum kafir mendatangi isteri Syam'un. Mereka memujuk isterinya bahawa mereka akan memberi hadiah perhiasan emas jika ia dapat mengikat suaminya. Menurut perkiraan mereka, Syam'un dapat ditangkap dengan mudah jika dalam keadaan terikat.


Ketika Syam'un sedang tidur, secara diam-diam isterinya mengikat badan Syam'un dengan tali. Namun ketika Syam'un bangun, dengan mudahnya ia dapat memutuskan tali-tali yang mengikat tubuhnya.


"Apa maksudmu berbuat demikian kepadaku?" Tanya Syam'un kepada isterinya.


"Aku hanya ingin menguji kekuatanmu." Kata isterinya pura-pura.


Kaum kafir itu tidak berputus asa. Lalu mereka memberi rantai kepada isteri Syam'un dan memerintahkannya agar mengikat suaminya dengan rantai itu. Isteri Syam'un segera melaksanakannya. Namun sebagaimana kejadian sebelumnya, dengan mudah Syam'un dapat memutuskan rantai besi yang mengikat tubuhnya.


Iblis mendatangi kaum kafir lalu berkata kepada mereka agar mereka memerintahkan isteri Syam'un untuk bertanya kepada suaminya di mana letak kelemahannya. Setelah dipujuk, Syam'un mengatakan kepada isterinya bahawa kelemahannya ada pada lapan jambul kepalanya. Ketika Syam'un tidur, isterinya telah memotong jambul suaminya itu lalu mengikatkannya pada tubuhnya. Empat jambul digunakan untuk mengikat tangan dan empat jambul lagi untuk mengikat kakinya. Syam'un tidak mampu melepaskan dirinya daripada ikatan itu kerana itulah kelemahannya.


Akhirnya, kaum kafir dapat menangkap Syam'un lalu mereka menyeksanya. Telinga dan bibir Syam'un dipotong lalu badannya digantung di sebatang tiang yang sangat tinggi. Syam'un berdoa kepada Allah SWT  agar diberi kekuatan untuk melepaskan diri daripada penyeksaan musuh-musuhnya itu. Allah SWT memakbulkan doa Syam'un hingga ia dapat melepaskan diri dari tali-tali yang menjeratnya dan menghancurkan tiang yang digunakan untuk menggantungnya. Semua kaum kafir mati tertimpa tiang tersebut.


Para sahabat Rasulullah
صلى الله عليه وسلم sangat kagum mendengar cerita itu. Mereka bertanya,


"Ya Rasulullah, dapatkah kami memperoleh pahala sebagaimana yang diperolehi Syam'un?"


"Aku sendiri tidak tahu," jawab Rasulullah
صلى الله عليه وسلم.


Kemudian baginda berdoa kepada Allah SWT. Allah SWT mengabulkan dengan memberikan malam lailatul qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang dipakai Syam'un untuk berjihad di jalan Allah SWT.


[[Mukasyafah al-Qulub, karangan Imam al-Ghazali]]


~Bagaimana besarnya rahmat dan nikmat Allah kepada kita, dan tiada yang menyedari dan mensyukuri nikmat ini kecuali mereka yang kehilangannya; iaitu ahli qubur.


~Bagaimana nilaian peluang beribadah, Allah kurniakan melalui jerih perih dan sengsara mereka yang terdahulu.


~Bagaimana kita mahu mula berusaha, menyedari dan berusaha mencari peluang-peluang ibadah, khususnya malam lailatul qadr yang tidak lama lagi.


Tidakkah kita berfikir? Mari kita berfikir

No comments:

Post a Comment