Monday 7 September 2015

Menangislah Kerana Tuhanmu

Menangislah

“Uish kau menangis? Hilang macho.”
Cuma, mahu timbulkan satu persoalan. Apa yang tidak baik dengan menangis?

Menangis menzahirkan kesedihan…
Pengakuan bahawa lemahnya insan…
Melahirkan rasa penyesalan…
Memberi kesedaran tentang hakikat kehidupan…
Membina hati yang salim, yang sentiasa diberi peringatan…

Allah Ta’ala berfirman,

“Maka biarkanlah mereka tertawa sedikit dan menangis yang banyak, sebagai balasan terhadap apa yang mereka selalu perbuat.” (Surah At-Taubah, 9:82)

“…Maka celakalah mereka yang hatinya telah keras membatu untuk menerima peringatan dari Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Az-Zumar, 39:22)

Menangis sering dikaitkan dengan lembik dan lemah, kerana itu kaum lelaki khususnya, mengeraskan hati daripada menangis. Di sini saya bawakan satu kisah kisah, dalam kitab Mukasyafah al-Qulub karya Imam Ghazali, tentang seorang Khalifah yang gagah perkasa, berani dan tegas, amat digeruni oleh musuh Islam sehingga dikatakan, sekiranya dia melalui satu jalan, maka syaitan akan melalui jalan selainnya.

Saidina Umar al-Khattab Radhiallahu ‘Anhu.

Ya, dia memang tegas dengan musuhnya, tapi di hadapan Allah Azza wa Jalla, dialah hamba.

 Dikisahkan, Saidina Umar Radhiallahu ‘Anhu pernah jatuh pengsan  kerana takut ketika mendengar bacaan ayat suci Al-Quran. Pada suatu hari, dia mengambil sebatang jerami, lalu berkata,

“Aduhai, alangkah baiknya jika aku menjadi jerami dan tidak menjadi sesuatu yang disebut. Aduhai, alangkah baiknya jika dulu ibuku tidak melahirkanku.

Ia menangis teresak-esak hingga air mata membasahi pipinya. Oleh kerana itu, pada wajahnya ada garis bekas lelehan air mata.


Betapa dia takut menanggung amanah sebagai hamba dan takut akan peritnya azab Allah. Satu lagi kisah daripada buku yang sama.

Di dalam Raqaid al-Akhbar  disebutkan bahawa pada hari kiamat, didatangkan amalan kepada seorang hamba. Ternyata keburukannya lebih banyak. Lalu dia diperintahkan ke neraka. Kemudian, bulu matanya berkata, “Tuhanku, RasulMu Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang menangis kerana takut kepada Allah, Allah mengharamkan kepadanya api neraka” Kerana itu, aku pun menangis kerana takutkanMu.

Lalu Allah mengampuni dan mengeluarkannya daripada neraka dengan berkat sehelai bulu matanya yang ketika di dunia pernah menangis kerana takut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jibril ‘Alahissalam berseru, “Fulan ibn Fulan selamat kerana sehelai bulu mata.”

Subhanallah… Besarnya rahmat Allah.

Menangislah

Hatta Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam sendiri berdoa agar dikurniakan mata yang menangis kerana takutkan Allah. Hakikat mereka yang menangis ini, kerana mereka akhirnya mendapati Allah di hatinya. Mukmin itu, sentiasa berada di antara ketakutan dan pengharapan. Ketakutan kepada azab, pengharapan kepada rahmat dan redha Allah. Dan dua perkara ini tidak didapati kecuali di hati sebenar-benar hamba.

Menangislah kerana Rasulullah juga menangis kerana kita
Menangislah kerana Allah tak jemu mengampunkan kita
Menangislah kerana rahmat Allah begitu besar
Menangislah kerana nikmat Allah tidak terhitung
Menangislah kerana sakaratulmaut itu akan tiba
Menangislah kerana azab Allah terlalu perit
Menangislah kerana kita tidak layak untuk syurgaNya
Menangislah…


No comments:

Post a Comment